Tulila: Muzik Bujukan Mandailing
Title/Judul : TULILA: MUZIK BUJUKAN MANDAILING
Publisher/Penerbit : Areca Books, Penang, Malaysia
Author/Pengarang : Edi Nasution
First Edition/Cetakan Pertama, June 2007
Pages/Tebal : 202
Bibliography : pg/hlm 161
Index : pg/hlm 173
ISBN 978-983-42834-4-5
Price/Harga: RM 40/Rp. 100,000
Sekapur Sireh (Kutipan/Petikan)
Di Nusantara alak (orang) Mandailing boleh ditemui di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tanah leluhur mereka terletak di pedalaman pesisir barat daya pulau Sumatra. Mereka memiliki berbagai genre
muzik tradisional yang saat ini mulai terancam punah. Salah satu muzik
tradisional orang Mandailing yang mulai hilang dari kehidupan mereka
adalah tulila yang menjadi bagian penting dalam tradisi markusip (mangkusip).
Dalam tradisi
markusip, teruna dan gadis sunti berkencan pada larut malam di
bagas padoman, asrama tempat tinggalnya anak gadis itu. Untuk memikat hati si gadis, teruna mendendangkan muzik
tulila menggunakan alat tiup
bambu yang diperbuat dengan tangannya sendiri. Selain
tulila, alat muzik seperti
sordam dan
genggong juga digunakan untuk kegiatan
markusip.
Muzik
tulila diselang-seli dengan
ende-ende (pantun) yang menggunakan
hata andung
(bahasa sastera). Ini diikuti dengan pembicaraan secara halus atau
berbisik antara pemuda dan anak dara meluahkan rindu rendam dan rasa
cinta.
Tradisi
markusip
terancam punah kerana pandangan bahawa warisan leluhur mereka dan
adat-istiadat lama dilihat sebagai sesuatu yang kuno, kolot (ketinggalan
zaman) dan tidak lagi memberi manfaat nyata bagi kehidupan
sosial-budaya mereka sekarang. Proses Islamisasi tidak sedikit memberi
saham pada merosotnya seni budaya Mandailing. Seperti hilangnya acara
mangandung (meratap) dalam upacara kematian kerana dikatakan dilarang
oleh ajaran Islam, yang menjadi anutan hampir semua orang Mandailing.
Semua ini adalah kerana tanggapan salah bahawa segi-segi tertentu adat
Dalian Na Tolu itu berlanggaran dengan agama Islam.
Sebenarnya, istilah adat itu sendiri datangnya dari tradisi Islam yang mencakupi
urf’
(kebiasaan) sekaligus terangkum dalam kerangka hukum-hakam Islam. Adat
yang dulunya melarang berpacaran secara terang-terangan seperti sekarang
itulah yang telah melahirkan tradisi
markusip di Mandailing dan sebagai akibatnya mengilhamkan permainan
tulila itu sendiri.
Pada gilirannya tegahan
mangandung pula menjejaskan tradisi
ende-ende (berpantun) di mana penggunaan
hata somal (bahasa harian) menggantikan
hata andung (bahasa sastera) dalam kegiatan berbalas pantun dalam budaya
markusip.
Tradisi berpantun sudah juah berkurangan sekarang ini. Komunikasi
antara muda-mudi kini lebih banyak dilakukan melalui surat-menyurat,
email, sms atau berhadapan secara langsung.
Malahan tradisi
markusip belakangan ini diganti oleh
marmayam
(picnic), berpasangan pemuda dan gadis, lebih-lebih lagi bila hari
libur. Dilihat dari kacamata gender ini adalah kerana anak gadis tidak
lagi dianggap sebagai 'barang pajangan' (pingitan) seperti pada zaman
nenek moyang kita, yang tidak bisa leluasa keluyuran (pergi ke mana-mana
tanpa tidak tentu tujuannya). Perubahan ini terjadi kerana, antara
lain, pengaruh pendidikan, teknologi komunikasi, media massa, dan
melonggarnya norma-norma etika pergaulan muda-mudi hari ini. Di samping
modernisasi melonggarkan norma-norma etika, modernisasi prasarana
komunikasi dan pengangkutan mencetuskan kelajuan mobilitas sosial yang
memungkinkan muda-mudi bersua muka, baik di kampung sendiri, di
poken mahupun di kota seperti Panyabungan dan Padangsidimpuan.
Ada yang lucu tentang beransur hilangnya tradisi
marksuip
di Mandailing menurut sahabat saya antropolog Drs. Zulifli B. Lubis.
Masuknya listrik ke pendesaan Mandailing di era modernisasi menyebabkan
tradisi
markusip itu tidak bisa lagi bertahan kerana
rumah-rumah penduduk sudah terang benderang sepanjang malam, jadi tidak
lucukah seorang pemuda
mangkusip di bawah sinaran lampu di
sudut rumah di mana sang gadis tidur? Kedua, lucunya pada bahan binaan.
Banyak bangunan rumah di Mandailing yang dulu berdinding buluh bambu (
gogat) atau papan, sekarang terbuat dari simen, jadi tidak bisa lagi membuat lubang di dinding buat
pangusipan. Kesimpulannya teknologi baru seperti elektrik dan pembinaan menghambat tradisi
markusip berundar dari perkarangan Mandailing. Selain itu juga tradisi anak-anak tidur di
bagas padoman sudah jauh berkuragan di Mandailing; mereka ramai yang tidak di rumah sendiri!
Mengingatkan
betapa besarnya perubahan yang telah terjadi pada berbagai aspek
kehidupan masyarakat Mandailing sekarang ini dari Perang Padri
(1821-1837), zaman kolonial Belanda, Pendudukan Jepun (1941-1945),
revolusi kemerdekaan sampai berdirinya Republik Indonesia, boleh
dikatakan mustahil untuk 'menghidupkan kembali' muzik
tulila dalam konteks tradisi
markusip.
Apalagi muzk
tulila tidak mempunyai status dan peran penting dalam adat dan ritual orang Mandailing sehingga mereke memandang
tulila hanya sebagai muzik dan instrumen biasa malah bersifat duniawi dan nafsu-nafsi, manakala
markusip dianggap privat (pribadi) dan tabu dibicarakan umum.
Edi meramalkan muzik
tulila dan tradisi
markusip
akan punah sama sekali menjelang 2010. Ini bererti suatu kesenian yang
terpancar dari roh kreativitas orang Mandailing akan terhapus.
Persoalannya apakah yang akan menggantikannya?
Apakah budaya
tradisional yang terbit dari adatnya orang Mandailing masa silam tidak
wajar lagi dipakai? Apakah pada zaman Islamisasi, Islam baku dan Islam
sejagat ia dianggap kurang Islam atau tidak Islam? Kalau jawapannya Ya,
maka kesenian Mandailing pasti akan digantikan dengan budaya kuning
Barat dan/atau budaya Arab yang disama-ertikan dengan Islam.
Punahnya muzik
tulila dan tradisi
markusip bersamaan lenyapnya segi-segi lain pada budaya Mandailing dalam arus globalisasi akan membawa kepada
cultural poverty (kemiskinan kultural). Apabila tanda-tanda (
marker)
keMandailingan itu terhakis dan kemudiannya terhapus, sudahnya
Mandailing itu sendiri akan lenyap di muka bumi ini, tenggelam lemas
dalam kerakusan budaya negara-bangsa, serantau dan global.
Begitupun,
upaya untuk mencatat, mendokumentasikan dan merekonstruksi budaya muzik
sesuatu kelompok etnik dalam konteks studi etnomuzikologi perlu
dihargai. Upaya seperti ini bisa menggali dan menemukan kembali
nilai-nilai estetika muzik tradisional milik bangsa Mandailing. Buku
berjudul
Tulila: Muzik Bujukan Mandailing, yang terbentang pada tangan anda sekarang ini merupakan sebagian dari upaya itu.
Buku
ini adalah hasil penelitian lapangan untuk menyelesaikan studi program
strata satu (S1) di Jurusan Etnomusikologi, Fakultas Sastra, Universitas
Sumatera Utara (USU) pada tahun 1995. Ini adalah julung-julung kali
kajian dibuat tentang muzik
tulila iaitu muzik bujukan Mandailing. Dalam penelitiannya, Edi menggabungkan pendekatan etnomuzikologi dan antropologi budaya.
Bertitik-tolak dari keberadaan budaya muzik
tulila dan tradisi
markusip
dari dahulu sampai sekarang di kalangan muda-mudi Mandailing, buku ini
menghuraikan seluk-beluk kegiatan budaya tersebut termasuk pembelajaran
pembuatan
tulila dan
markusip dalam ruang lingkup kebudayaan Mandailing seadanya. Edi merincikan muzik
tulila dengan memakai nota-nota muzik
tulila
dan notasi lagu untuk mengenal-pasti bentuk dan melodi lagu asmara
dana. Sketsanya Erni Zulfan Rangkuti, seorang etnomuzikologis membantu
memberi gambaran kegiatan
tulila dan
markusip di mana ketiadaan foto mengisi kekosongan itu.
Untuk
menyiapkan skripsinya, Edi melakukan penelitian di 18 desa di
Mandailing Julu dan Mandailing Godang, menemu-bual 70 informan dari
pelbagai marga, para gadis dan pria yang terlibat dalam kegiatan
markusip, termasuk warga-warga huta (desa) yang sudah berumah-tangga baik lelaki mahupun perempuan yang pernah ber-
markusip
pada waktu mereka remaja dahulu, termasuk tokoh-tokoh budayawan
Mandailing. Edi juga melihat variasi dan persamaan dalam budaya
tulila dan
markusip di antar Mandailing Julu dan Mandailing Godang.
Edi menunjukkan bahawa muzik
tulila memimik alam, mahupun bisikan serangga, nyanyian burung atau desiran angin. Pembuatan dan permainan
tulila adalah kegiatan yang menuntut ilmu, kesenian dan ketrampilan. Lebih jauh dari itu muzik
tulila menjadi cerminan peribadi, falsafah, kebudayaan dan wacana hidup orang Mandailing. Dengan terpinggirnya muzik
tulila bersamanya tersisih pula sisi-sisi tertentu watak keMandailingan...
sumber : http://gondang.blogspot.com/search/label/Tulila%20Mandailing
http://bumibebas.blogspot.com/2007/06/tulila-muzik-bujukan-mandailing.html
0 Response to "Tulila: Musik Untuk Merayu Anak Gadis Mandailing Di Malam Hari"
Post a Comment
Berkomentarlah dengan bijak dan sesuai Topik. Dilarang berkomentar yg menyinggung SARA, kata kotor, pelecehan & semisalnya. Admin berhak tidak menampilkan komentar Anda jika melanggar Peraturan. Terimakasih Banyak, Horas!!!!